Sunday, June 6, 2010

Baling: Generasi Muda Berhijrah ke Bandar

PENDUDUK Baling mengakui daerah itu sudah mula mengorak langkah menuju pembangunan tetapi meluahkan rasa kecewa kerana generasi muda tidak berminat untuk bersama-sama terbabit dalam merencanakan perubahan, bahkan memilih untuk berhijrah.

Ada penduduk seolah-olah menolak bantuan disebabkan perbezaan fahaman politik sempit, padahal secara logiknya, mereka adalah penerima yang layak.

Penduduk Kampung Pokok Setol, Harun Abu Bakar, 84, mengakui dalam tempoh lebih 50 tahun selepas merdeka, Baling sebenarnya sudah banyak berubah termasuk mempunyai kemudahan jalan raya.

“Dulu, jika nak ke pekan Baling, ambil masa dua jam dari sini (Kampung Lalang), sekarang cuma 10 minit. Memang orang sini banyak buat kerja bendang dan menoreh getah sebab banyak tanah pusaka yang boleh diusahakan dan semua itu sebenarnya boleh mendatangkan pendapatan lumayan,” katanya.

Tegasnya, jika ada yang hidup miskin, mereka sebenarnya pemalas kerana banyak kerja yang boleh dibuat dan banyak tanah terbiar boleh diusahakan. Tanamlah apa saja, tanah di Baling memang subur, cuma perlu mengerah kudrat empat kerat untuk mendapatkan hasil.

Hakikat itu diakui rakannya, Yahya Ramli, 72, yang menganggarkan kira-kira 70 peratus golongan muda di situ berhijrah kerana lebih suka bekerja ‘makan gaji’, di kilang walaupun terpaksa bersengkang mata bekerja syif malam semata-mata tidak mahu bekerja di kampung.

“Orang muda sekarang tak rasa kesusahan zaman dulu. Saya cukup marah kalau mereka tidak bersyukur, merungut dengan apa yang ada. Dulu kami menoreh getah, jual 26 sen sekati (tahun 60 hingga 80-an), sekarang harga dah RM3 sekilogram.

“Dulu jual getah keping, sekarang jual getah sekerap, cukup mudah nak buat duit. Kalau rajin, buatlah kerja sampingan, orang tua macam kami dah tak larat, merekalah (orang muda) kena buat,” katanya yang turut menjadi penceramah jemputan kepada pelajar sekolah mengenai pembangunan Baling.

Pada zaman serba moden ini, katanya generasi sekarang sepatutnya bersyukur dengan apa yang dan mengambil peluang membaiki taraf hidup kerana semuanya tersedia di depan mata.

Hakikat itu ada kebenarannya kerana kawasan Baling kini dikelilingi kemudahan jalan raya berturap yang agak sistematik. Lebuh raya Durian Burung ke Kupang dalam pembinaan, jika siap sepenuhnya, pasti memudahkan penduduk menjual hasil tani mereka.

Penerima bantuan rumah baru, pasangan warga emas Othman Jaafar, 78, dan Sofiah Che Nai ,76, pula bersyukur kerana menerima bantuan rumah baru Sime Darby Bhd yang akan dibina pelatih Pusat Giatmara Baling, di sebelah tapak rumah asal tidak lama lagi.

Othman berkata, mereka gembira kerana di penghujung usia itu, masih ada pihak yang menjenguk dan membantu bagi membolehkan mereka hidup lebih selesa.

“Rumah itu serba lengkap dengan bilik air di dalam rumah. Tak payahlah keluar rumah nak ambil wuduk, lebih selesa nak beribadah. Saya berdoa semoga dipanjangkan umur supaya sempat merasai tinggal di rumah baru,” katanya.

1 comment:

  1. Mana cite Serdang? Boh la gambar Tasek Serdang dll berkaitan

    ReplyDelete