Sunday, June 6, 2010

Baling: Generasi Muda Berhijrah ke Bandar

PENDUDUK Baling mengakui daerah itu sudah mula mengorak langkah menuju pembangunan tetapi meluahkan rasa kecewa kerana generasi muda tidak berminat untuk bersama-sama terbabit dalam merencanakan perubahan, bahkan memilih untuk berhijrah.

Ada penduduk seolah-olah menolak bantuan disebabkan perbezaan fahaman politik sempit, padahal secara logiknya, mereka adalah penerima yang layak.

Penduduk Kampung Pokok Setol, Harun Abu Bakar, 84, mengakui dalam tempoh lebih 50 tahun selepas merdeka, Baling sebenarnya sudah banyak berubah termasuk mempunyai kemudahan jalan raya.

“Dulu, jika nak ke pekan Baling, ambil masa dua jam dari sini (Kampung Lalang), sekarang cuma 10 minit. Memang orang sini banyak buat kerja bendang dan menoreh getah sebab banyak tanah pusaka yang boleh diusahakan dan semua itu sebenarnya boleh mendatangkan pendapatan lumayan,” katanya.

Tegasnya, jika ada yang hidup miskin, mereka sebenarnya pemalas kerana banyak kerja yang boleh dibuat dan banyak tanah terbiar boleh diusahakan. Tanamlah apa saja, tanah di Baling memang subur, cuma perlu mengerah kudrat empat kerat untuk mendapatkan hasil.

Hakikat itu diakui rakannya, Yahya Ramli, 72, yang menganggarkan kira-kira 70 peratus golongan muda di situ berhijrah kerana lebih suka bekerja ‘makan gaji’, di kilang walaupun terpaksa bersengkang mata bekerja syif malam semata-mata tidak mahu bekerja di kampung.

“Orang muda sekarang tak rasa kesusahan zaman dulu. Saya cukup marah kalau mereka tidak bersyukur, merungut dengan apa yang ada. Dulu kami menoreh getah, jual 26 sen sekati (tahun 60 hingga 80-an), sekarang harga dah RM3 sekilogram.

“Dulu jual getah keping, sekarang jual getah sekerap, cukup mudah nak buat duit. Kalau rajin, buatlah kerja sampingan, orang tua macam kami dah tak larat, merekalah (orang muda) kena buat,” katanya yang turut menjadi penceramah jemputan kepada pelajar sekolah mengenai pembangunan Baling.

Pada zaman serba moden ini, katanya generasi sekarang sepatutnya bersyukur dengan apa yang dan mengambil peluang membaiki taraf hidup kerana semuanya tersedia di depan mata.

Hakikat itu ada kebenarannya kerana kawasan Baling kini dikelilingi kemudahan jalan raya berturap yang agak sistematik. Lebuh raya Durian Burung ke Kupang dalam pembinaan, jika siap sepenuhnya, pasti memudahkan penduduk menjual hasil tani mereka.

Penerima bantuan rumah baru, pasangan warga emas Othman Jaafar, 78, dan Sofiah Che Nai ,76, pula bersyukur kerana menerima bantuan rumah baru Sime Darby Bhd yang akan dibina pelatih Pusat Giatmara Baling, di sebelah tapak rumah asal tidak lama lagi.

Othman berkata, mereka gembira kerana di penghujung usia itu, masih ada pihak yang menjenguk dan membantu bagi membolehkan mereka hidup lebih selesa.

“Rumah itu serba lengkap dengan bilik air di dalam rumah. Tak payahlah keluar rumah nak ambil wuduk, lebih selesa nak beribadah. Saya berdoa semoga dipanjangkan umur supaya sempat merasai tinggal di rumah baru,” katanya.

Harapan Penduduk Baling

Majoriti penduduknya penoreh getah dan petani yang dahagakan pembangunan dan kemudahan asas

UBI kayu rebus kopi O panas, pulut tabur nyior (kelapa) dan ikan pekasam goreng, cukup menyelerakan. Sesekali menjamu selera dengan makanan tradisional itu memang mengasyikkan.

Peluang berkumpul bersama penduduk Kampung Dalam Wang, Mukim Pulai, Baling Kedah memberi banyak pandangan dan idea baru pelbagai isu membawa kepada cerita politik dan ekonomi. Bukannya omong kosong kerana semua yang dibincangkan secara spontan ‘berisi’, kebetulannya, malam itu, negara kecoh dengan kemelut sebuah parti politik dan isu itu juga turut diperdebatkan.

Mereka terbuka terhadap perkembangan dunia luar dan dulunya, ramai beranggapan berada di Baling umpama tinggal di kawasan terasing daripada dunia luar. Andaian itu tidak tepat, memang Baling kawasan luar bandar, tetapi mereka tidak begitu ketinggalan.

Dulunya, Baling digambarkan sebagai daerah pedalaman mundur, miskin, kawasan hitam, kelaparan dan pelbagai isu yang sinonim kerana daerah ini pernah merakam peristiwa besar negara.

Peristiwa Rundingan Baling 1955, mogok dan tunjuk perasaan harga getah 1974 dan Peristiwa Memali 1985 menyebabkan Baling terkenal bukan kerana pembangunannya tetapi kerana sejarahnya.

Itu cerita lama, kekal sebagai sejarah negara, tetapi penulis lebih berminat dengan cerita sosio ekonomi penduduknya. Majoritinya menoreh getah, petani, hidup sara diri, memang ada yang hidup selesa, tetapi nisbahnya terlalu kecil jika dibandingkan penduduk miskin.

Bak kata rakan setugas di Baling, jika mahukan cerita politik, hal pembangunan, cerita jenayah boleh jenguk ke Pulau Pinang, jika ke Sungai Petani, banyak cerita sosial akibat kejutan budaya dan pembangunan pesat di sana.

Habis tu, apa cerita di Baling...yang ada cuma cerita kesusahan, penderitaan rakyat memerlukan bantuan, kemudahan asas, kisah rakyat menuntut pembelaan kerana mungkin ada terlepas pandang.

Bukannya pihak berwajib tidak menjalankan tugas, mungkin tercicir atau ada yang degil disebabkan perbezaan fahaman politik. Di sinilah pentingnya Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bertindak memastikan semuanya merasai nikmat pembangunan.

Berdasarkan laporan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Baling, jumlah peruntukan bantuan 2009 meningkat sebanyak RM1.5 juta berbanding RM4.5 juta sebelumnya melalui pelbagai skim bantuan kepada 2,373 penerima.

Pegawai JKM Baling, Syed Mohd Abd Ghani Syed Ali, berkata jumlah itu belum dikira permohonan baru yang belum selesai disiasat membabitkan sebanyak 4,389 kes, tidak termasuk penerima sedia ada.

Bantuan itu dikira berdasarkan purata garis kemiskinan di Semenanjung Malaysia iaitu RM720 sebulan membabitkan jumlah isi rumah seramai lima orang. Jumlah perkapita ini membabitkan semua golongan pada kadar pendapatan mereka yang bekerja kampung sebagai petani dan penoreh getah.

Antara sedar atau tidak, ketika berkumpul di rumah Pengerusi JKKK Pusat Kampung Dalam Wang, Wan Haris Che Mat atau Pak Su, penulis melihat mereka bekerja kuat menjayakan agenda kerajaan Pusat.

Sekejap datang penduduk membawa borang untuk ditandatangani dan mendapatkan sokongan. Seorang pengerusi JKKK kampung bersebelahan membawa berita gembira, katanya, Jabatan Bekalan Air (JBA) baru saja maklumkan akan memasang paip air utama.

Beberapa minit kemudian, rakan mereka menerima panggilan kontraktor memaklumkan akan memasang tiang elektrik dalam beberapa hari lagi. Semuanya melalui usaha keras JKKK bertindak, meneliti aduan dan mengemukakan permohonan.

Itu semua khabar gembira untuk penduduk, bayangkan selepas hampir setengah abad negara merdeka, masih ada yang tidak menikmati kemudahan elektrik dan air. Contohnya penduduk di Kampung Batu Lapan masih menggunakan perigi untuk mendapatkan bekalan air dan masih ada penduduk Kampung Bukit Sebelah tinggal di rumah pondok sementara menunggu masa berpindah ke rumah baru.

Ketika Baling dalam proses membangun, rakyat seharusnya bersyukur dengan kesungguhan Ahli Majlis Tertinggi Umno merangkap Penyelaras Parlimen Barisan Nasional (BN) Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim merencanakan agenda kerajaan Pusat.

Kehadiran Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Mashitah Ibrahim juga sepatutnya memberi aspirasi baru. Mereka berusaha kuat memastikan penduduk mendapat hak melalui pelbagai skim bantuan kerajaan walaupun perubahannya secara perlahan dan berperingkat.

Teringat pula kata-kata Pak Su apabila jurugambar merakam detik kami menjamu selera ubi rebus, katanya jangan disangka orang Baling makan ubi kayu saja, itu cuma makanan ringan.

Peruntukkan JKM Baling
2009: RM6 juta kepada 2,373 penerima
2008: 4.5 juta kepada 2,200 penerima.

Peristiwa bersejarah Baling
  • 28 dan 29 Disember 1955: Rundingan Baling antara Bapa Kemerdekaan Malaysia, Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dengan Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng di Sekolah Kebangsaan Tunku Putera Baling.
  • 19 November 1974: Tunjuk perasaan akibat harga getah merudum.
  • 19 November 1985: Peristiwa Memali mengorbankan 18 nyawa termasuk empat anggota keselamatan dan ramai tercedera.

    Penduduk Baling:
  • 80 peratus bersawah padi dan menoreh.
  • Hampir 90 peratus penduduk menikmati kemudahan asas elektrik, bekalan air
  • 10 peratus masih belum menerima sepenuhnya kemudahan asas.
  • Thursday, March 11, 2010

    Laman Web Sosial Tingkat Budaya Membaca

    SHAH ALAM - Budaya membaca kini dilihat semakin berkurangan di kalangan masyarakat negara ini menyebabkan kurangnya individu yang berpengetahuan kerana membaca diketahui umum dapat meluaskan pemikiran dan ilmu melalui bacaan buku, sebaliknya penggunaan Internet menjadi pilihan.

    Ketua Jabatan Pendidikan Kaunselor dan Psikologi Kaunseling Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Rusnani Abdul Kadir berkata, penggunaan Internet seharusnya tidak disalah gunakan kerana melalui Internet juga masyarakat boleh membaca tidak hanya dengan bacaan buku kita dapat memperoleh sesuatu ilmu ataupun maklumat.

    “Internet dan buku saling membantu sebenarnya kerana maklumat dalam buku ada kalanya diterbitkan lambat manakala melalui internet pula maklumat yang dikehendaki lebih cepat.

    “Ini semua bergantung kepada individu yang menggunakan kedua-dua hubungan ini sama ada ke arah positif ataupun negatif,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

    Rusnani berkata, laman web sosial dilihat dapat membantu dalam menarik minat membaca masyarakat dengan menyediakan bahan bacaan berkualiti dan berguna sesuai untuk masyarakat dan ia dikatakan tidaklah hanya melalaikan seperti yang disalahgunakan sesetengah individu untuk kepentingan peribadi ke arah negatif.

    Kempen-kempen yang banyak diadakan masa ini seperti Program Mari Membaca 1Malaysia yang dianjurkan perpustakaan Negara baru-baru ini diharap dapat meningkatkan jumlah masyarakat yang suka membaca dan konteksnya dilihat terbuka sama ada membaca melalui Internet mahupun buku.

    “Jika hanya membaca sahaja tetapi tidak diproses apa yang mereka baca ia tidak berguna juga kerana memproses apa yang dibaca lebih bermakna dan dengan cara itulah ilmu pengetahuan didapati,” katanya apabila ditanya mengenai apa yang harus masyarakat praktikal apabila membaca.

    Menurutnya, membaca dapat membina masyarakat yang berfikir dengan secara semula jadinya mempunyai sifat sentiasa ingin tahu setiap apa yang mereka baca sekali gus menyeru penulis buku ataupun laman Internet agar menyediakan maklumat yang berguna untuk menjadikan masyarakat yang lebih berkualiti.

    “Individu yang berkenaan haruslah menyediakan bahan bacaan yang berkualiti dan berguna kepada masyarakat kerana melaluinya kita dapat saling berkongsi,” katanya.

    (Dipetik dari Sinar Harian, 12 Mac 2010)

    Sunday, February 21, 2010

    Laman Jaringan Sosial Mampu Jadi Pemangkin Perubahan


    Oleh Zainul Arifin
    zainul@nstp.com.my
    Dipetik dari Berita Minggu (Online), 21 Februari 2010.

    Kerajaan, pemimpin dan ahli politik perlu manfaat alam siber untuk kekal relevan

    KEPADA mereka yang kurang tahu, laman Facebook adalah contoh fenomena jalinan media sosial yang terhasil daripada teknologi internet. Seseorang mendaftar menjadi ahli Facebook, dengan mengisi butir diri, betul atau tidak, tiada siapa yang akan periksa dan meletakkan gambar ataupun video.

    Ahli Facebook mengemaskini laman mereka dengan butiran terkini mengenai diri mereka serta menyatakan pendapat mereka dan segala yang mereka suka atau tidak.

    Setiap ahli Facebook boleh meminta untuk menjadi kawan ahli Facebook yang lain. Lebih banyak kawan, mungkin lebih popular agaknya seseorang ahli Facebook. Baru-baru ini ada dilaporkan Perdana Menteri mempunyai lebih 100,000 kawan di laman Facebook beliau.

    Berdasarkan statistik terbaru, ada lebih 350 juta ahli Facebook di dunia - kalaulah Facebook sebuah negara, maka ia adalah negara keempat terbesar di dunia.

    Lebih menarik lagi, di Malaysia terdapat 4.2 juta ahli Facebook, iaitu kesembilan paling ramai di dunia, di mana nombor satu ialah Amerika Syarikat.

    Apa yang penting yang perlu diambil tahu ialah pengaruh yang luas oleh Facebook dan laman media sosial lain. Juga perlu diingat bukan semua yang di internet itu tidak baik. Cuma apabila kita tidak memahaminya, maka kita akan bimbang dan ragu.

    Satu lagi yang perlu diingati, tiada apa yang boleh dilakukan untuk menghalang atau mengawal internet. Sebarang cubaan akan membawa kesan lebih negatif daripada baik.

    Kini terdapat beratus-ratus laman umpama Facebook, antara yang terkenal Friendster dan Myspace. Satu lagi statistik yang menarik - menurut beberapa laporan, hampir dua pertiga rakyat Malaysia adalah ahli salah satu daripada ratusan jalinan sosial media.

    Jelas, ini bukan fenomena kecil atau boleh diremeh-temehkan. Malah tahun ini dikatakan sebagai tahun media sosial di mana akan ada ledakan fenomena ini. Di Malaysia saja pertumbuhan keahlian Facebook, umpamanya, bertambah 10 peratus atau lebih 300,000 pada Disember lalu.

    Baru-baru ini juga Timbalan Perdana Menteri juga melancarkan laman Facebooknya.

    Apakah maksud semua ini? Apakah penting dan relevannya kesemua ini untuk hidup kita?

    Ada orang kata aktiviti media sosial kurang bernas. Sememangnya ia boleh merugikan, seperti juga perkara lain, jika dilakukan berlebihan. Sudah tentulah kita boleh terlebih makan atau bersuka atau mengemaskini laman Facebook kita, maka ia memanglah memudaratkan, tetapi itu tidak menjadi sebab kita tidak boleh bersuka-ria.

    Ahli seramai lebih empat juta, umpamanya adalah lebih daripada mana-mana parti politik di negara ini. Walaupun jika separuh daripada mereka tidak aktif, jumlah yang berada di alam siber itu adalah cukup banyak dan memberikan banyak peluang dan kemungkinan.

    Rasanya ledakan yang dikatakan itu ialah di mana fenomena ini berjaya menguasai bidang sosial, ekonomi dan politik. Siapa sangka mainan pelajar sedekad lalu kini menjadi pemangkin perubahan.

    Dikatakan kempen politik Presiden Amerika Syarikat yang lalu dimenangi oleh calon yang faham dengan kuasa dan pengaruh jalinan media sosial, dan seterusnya menggunakannya untuk membantu di dalam kempen.

    Presiden Barack Obama menggunakan teknologi ini dengan sepenuhnya dan berjaya menyampaikan mesejnya kepada golongan muda yang tidak lagi cenderung dengan media arus perdana. Beliau juga berjaya memahami teknologi ini untuk menentukan segala mesej dan matlamat kempennya tidak lagi ditentukan dan ditapis oleh pemberita dan pengarang, malah adakalanya beliau terus langsung tidak menggunakan media arus perdana untuk sesetengah strategi kempen.

    Jelas dia berjaya, manakala lawannya yang tidak menerima media sosial secara menyeluruh, tidak.

    Kekuatan utama laman seperti Facebook ialah pengaruh kawan-kawan. Contohnya, jika kawan kita berkata dia suka sesuatu filem, kita mungkin lebih percaya untuk membeli tiket, berbanding kata-kata iklan ataupun pengkritik. Kita lebih percaya jika kawan kita kata ada gerai yang menjual nasi lemak sedap yang perlu kita kunjungi, berbanding jika orang tidak dikenali berkata demikian.

    Maka jika seorang rakan alam maya kita berkata dia percayakan Obama, jelas kata-kata ini akan menyerap ke jutaan, malah mungkin puluhan juta rakan yang terangkai dalam jalinan yang luas meliputi dunia. Sedikit sebanyak ada yang akan terpengaruh.

    Jika seseorang itu berkata ia menyokong sesuatu parti atau seseorang calon, besar kemungkinan dia akan dapat mempengaruhi kawannya lebih lagi daripada berjela-jela laporan media arus perdana. Maklumlah kawan kita mesti bercakap betul.

    Mungkin sebagai media arus perdana ini bukan satu perkembangan yang baik, namun sesuatu organisasi yang dinamik perlu melihat bagaimana ia boleh kekal di dalam keadaan yang mencabar.

    Untuk media arus perdana kekal relevan, ia mesti memahami serta mendakap fenomena ini. Begitu juga kerajaan, pemimpin dan ahli politik.

    Fenomena jalinan media sosial kini sudah lama dikenali oleh pakar pemasaran sebagai satu alat yang amat berguna untuk kerja mereka. Begitu juga perlulah parti politik dan pemimpin mereka menerima, memahami dan menggunakan media sosial untuk kekal relevan.

    Satu lagi statistik yang menarik - lebih 80 peratus ahli Facebook pula berumur antara 18 hingga 44 tahun. Jelas jika mahu berinteraksi dengan golongan muda, haruslah pergi di mana mereka berkumpul.

    Monday, February 8, 2010

    Budaya Baru Penghakupayaan dan Partisipasi Komuniti dalam Pembangunan


    Ahlan wasahlan. Selamat datang ke laman blog Komuniti Maya Serdang Kedah. Laman blog ini dibangunkan sejurus permulaan laman media sosial Facebook atas nama "Komuniti (Maya) Serdang Kedah" yang menunjukkan perkembangan perbincangan dan cadangan yang positif.

    Laman blog ini sekadar mempelbagaikan wadah atau medium perbincangan penyaluran pandangan dan pemikiran anak-anak Serdang untuk pembangunan, kemajuan dan pencapaian Serdang demi kesejahteraan komunitinya.

    Kenapa Serdang? Ya, kerana di mana-mana pun ada watak dan pemikirnya yang memainkan peranan dan tanggungjawabnya masing-masing. Dalam sesebuah masyarakat, ada kelompok pemimpin politiknya, para pentadbirnya, para penguatkuasa undang-undangnya dan pelbagai lagi. Di sana ada juga persatuan atau pertubuhan bukan kerajaan yang dibentuk secara sukarela atas sesuatu ideologi dan tujuan yang tertentu.

    Semuanya bermatlamat membawa kemajuan dan pembangunan dalam komuniti mereka dengan kaedah dan cara yang tersendiri.

    Komuniti Maya Serdang Kedah hadir sebagai satu lagi alternatif yang bergerak secara maya (online) dalam memberikan penghakupayaan (empowerment) dan penyertaan (partisipasi) komuniti dalam pembangunan dan kemajuan agama, bangsa dan tanahairnya.

    Positif dan bagusnya pembentukan gerakan komuniti secara maya ini ialah semua pihak dapat menyalurkan pandangan dan pemikiran mereka dalam suatu wadah dan pandangan dan pemikiran itu dapat dikongsi dan disalurkan kepada pihak yang bertanggungjawab.

    Dengan sifatnya yang merentasi sempadan, biar di mana pun komuniti maya anak-anak Serdang ini berada, mereka tetap dapat memberikan pandangan dan cadangan mereka dalam hal-hal pembangunan dan kemajuan tanah tumpah darah mereka sendiri.

    Setiap daripada batang tubuh rakyat dan masyarakat di negara ini mempunyai hak untuk bersuara dan bercakap tentang negara, negeri atau daerah atau kampung mereka sendiri. Cuma wadahnya sahaja yang pelbagai.

    Justeru, blog Komuniti Serdang Kedah dan Facebook Komuniti Serdang Kedah ini adalah salah satu wadah dan medium komuniti buat anak-anak Serdang yang berada di alam maya, anak-anak Serdang yang menjadi perantau bersatu di sini, memberikan pandangan dan cadangan serta buah fikiran untuk komuniti Serdang itu sendiri.

    Di sini kita mahu membentuk budaya baru bahawa biar di mana pun kita berada, kita tetap dapat mengambil bahagian dan memberikan pandangan dalam kemajuan dan pembangunan setempat, tempat asal usul kita sendiri.

    Pengendali (admin) bagi blog ini adalah juga admin Facebook Komuniti Serdang Kedah. Kita berpegang kepada konsep non-partisan: tidak mendukung mana-mana ideologi parti, organisasi atau agensi kerajaan mahupun NGO atau persatuan atau pertubuhan yang berdaftar secara rasmi.

    Wadah ini adalah wadah bebas yang boleh disertai oleh sesiapa sahaja tanpa mengira agama, bangsa, umur, parti, persatuan atau pertubuhan. Kita tetap yakin dan percaya bahawa dalam keadaan tertentu di mana-mana masyarakat dipecah-pecahkan melalui parti politik itu dan ini, persatuan itu dan ini, kita perlu kepada satu wadah dan titik penyatuan yang boleh menghimpunkan semua kelompok itu.

    Biar walaupun kelihatan tertalu ideal, setidak-tidaknya kita memikul tanggungjawab ini demi rakyat umumnya dan demi komuniti Serdang itu sendiri khasnya.

    Soal Serdang adalah sebuah mukim kecil atau pekan Serdang [yang menjadi pusat pentadbirannya] hanya sebuah pekan yang kecil, namun hakikatnya telah ramai anak-anak bangsa Serdang itu sendiri yang telah berjaya, mencipta pelbagai pencapaian di dalam pelbagai bidang.

    Kerana kejayaan dan pencapaian mereka itu, ramai di kalangan mereka yang telah merantau dan memberikan sumbangan mengikut peranan dan tanggungjawab mereka masing-masing. Biarpun demikian, mereka adalah anak-anak jati Serdang yang tetap akan ingat akan tempat tumpah darah mereka itu.

    Maka, marilah kita raikan setiap lapisan masyarakat anak-anak Serdang termasuk yang "berada di alam maya" yang dikenali Komuniti Maya Serdang Kedah ini.